Wednesday, July 10, 2013

Dosa vs. Dosa



Bzztt. Bzztt. Bergetar telefon bimbit Samsudin mengisyaratkan mesej diterimanya. Samsudin yang ketika itu sedang membelek-belek majalah cepat-cepat mencapai telefon bimbitnya itu. Dia tersengih membaca mesej yang diterimanya. Sedang dia membalas mesej itu, sekali lagi telefon bimbitnya bergetar. Kali ini telefon bimbitnya yang kedua pula yang bergetar. Baca, sengih dan balas. Sama sahaja reaksi Samsudin terhadap mesej yang kedua itu. Aziz, rakan serumah Samsudin, menggeleng kepala melihat kelakuan Samsudin itu. Dia tahu apa yang Samsudin lakukan walaupun hanya baru 6 bulan mereka tinggal sebumbung.

"Weh, Sam. Kau mesej awek-awek mana pulak tu?" tanya Aziz.

"Em, kau tak kenal lah budak-budak ni, Jiz. Aku kenal diorang masa pergi snorkeling last week." jawab Samsudin tanpa mengalihkan pandangannya kepada Aziz.

"Oh.." kata Aziz sambil duduk di atas sofa bertentangan dengan Samsudin. "Weh, Sam. Aku nak tanya kau lah. Seronok ke weh benda yang kau buat tu?" sambung Aziz.

"Amenda lah kau ni. Mesti lah best layan pompuan." jawab Samsudin separa ketawa. Aneh persoalan itu ditujukan baginya.

"Takde lah, maksud aku, ko tak rase bersalah ke? Kejap pompuan ni, kejap pompuan tu. Pastu minggu depan orang lain dah. Dah dapat, puas, tukar." sambung Aziz.

Riak muka Samsudin mula berubah. Dia yang sebentar tadi ceria, mula bertukar serius. Matanya merenung tepat ke muka Aziz. Mukanya merah. Sambil menukar posisi daripada berbaring di atas sofa kepada duduk, dia berkata kepada Aziz," Weh, ko ni apehal? Ko ada masalah dengan aku ke hah?" Nadanya keras.

"Eh, takde lah Sam. Aku tanya je. Sebab aku terfikir tadi, ko buat macam tu, ko tak terpikir ke kalau-kalau kakak ko, takpun adik pompuan ko kena camtu gak? Silap-silap mak ko pun.."

"WOI!! KO MAK-MAK JANGAN BUAT MAIN EH!!! ELOK SIKIT!!" tengking Samsudin, sebelum sempat Aziz menghabiskan ayatnya.

"Okey, okey. Sori. Aku mintak maaf. Tapi aku bagi contoh je, ko tak pernah terpikir ke kalau-kalau.." kata Aziz, cuba menenangkan keadaan Samsudin.

"AH!! APA KAU INGAT KAU TU BAIK SANGAT LAH WEH? BLAH LAA!! CERMIN DIRI DULU LA, SEBOK JE NAK BAGI CERAMAH KAT AKU! PUI!!" potong Samsudin lagi.

"Ye beb. Aku tau, aku sendiri pun takdelah baik mana, tapi aku buat dosa aku tak libatkan orang lain. Aku sorang-sorang je." jawab Aziz.

"Ek eleh, nak banding-banding pulak. Ok kalau ko nak banding. Tu! Ko tengok sana tu!" balas Samsudin sambil menunjuk ke arah bawah meja kopi mereka. Botol kaca berwarna hijau berselerak. "Tu ko punya kan? Ko sedar diri la sikit, ko nak banding-banding tapi dosa ko tu lagi besar ko tau tak? Sebok minum kencing setan ada hati nak ceramah orang. Hei, ko tau tak hadis cakap arak tu ibu segala kejahatan, hah?! Ko tau tak nabi laknat orang yang dekat dengan benda tu? Ko tau tak?!!" bebel Samsudin. "Aku kalau ye pun main pompuan, aku tak usik la benda-benda najis macam tu." tambahnya sedas lagi.

"Kalau macam tu ko pun kena laknat lah, sebab ko pun dekat je dengan benda tu." perlahan jawab Aziz.

"Eh, lahanat ni menjawab pulak. Aku bagi kang!" gertak Samsudin sambil menggenggam kolar baju Aziz.

"WOI!! SENYAP LAH!!" jerkah satu suara dari belakang mereka. Samsudin dan Aziz menoleh. Ramli, juga rakan serumah mereka, keluar dari biliknya dengan muka tensyen. "Korang apehal bising-bising?!" tanya Ramli sambil tercegat di muka pintu biliknya.

"Takde, Li. Ajiz ni ha, sebok campur hal aku. Nak bagi ceramah konon. Puii!!" jawab Samsudin sambil melepaskan genggaman kolar Aziz.

"Eleh, pasal tu pun nak gaduh? Sudah lah. Buang masa je." kata Ramli.

"Takde lah, kalau dia tu baik takpe Ramli, ini perangai pun serupa anak setan, ada hati nak ceramah aku. Tak sedar diri, padahal dia lagi terok daripada aku." jawab Samsudin."Ko pun mesti setuju dengan aku kan Li?" tanya Samsudin kepada Ramli.

"Ko jangan libatkan aku lah dalam masalah ko lah Sudin." jawab Ramli.

"Eh, jawab lah Li. Bagi la pendapat ko. Jangan cakap ko backup Ajiz ni kot?" pinta Samsudin.

"Ko betol nak aku cakap?"tanya Ramli. Samsudin mengangguk.

"Ok. Ko dengar sini." kata Ramli.

"Contoh la aku bagi ko pilih salah satu, sama ada ambik taik khinzir, *mak aku tak bagi cakap ba-alip-ba-ya*, takpun taik anjing. Mana satu ko pilih?" tanya Ramli.

"Taik anjing la kot." jawab Samsudin.

"Kat situ lah kau bodoh Sudin. Kalau aku, taknak aku ambik mana-mana. Sama je dua-dua najis berat. Dua-dua kena samak." jawab Ramli. "Jadi, kes korang ni sama lah macam tu. Puas hati?" tanya Ramli. Aziz dan Samsudin senyap terkedu.

"Dah puas hati, senyap. Sekarang ni earphone aku rosak, jangan bising-bising. Aku nak tengok blu pon tak senang." pesan Ramli sebelum masuk ke dalam biliknya.


Perlahan Aziz bersuara, memecah kesepian; "Padan muka ko. Tu lah, nak tanya lagi."


No comments: